FITNAH yang menyerang dalaman PAS – Faktor dan Tindakan Kepimpinan & Ahli

FITNAH yang menyerang dalaman PAS – Faktor dan Tindakan Kepimpinan & Ahli

[ Nota ini disertakan sebagai menjelaskan status saya yang terbaru berkaitan FITNAH yang menyerang PAS mutakhir ini yang amat mendukacitkan apabila para agamawan sendiri melibatkan diri mereka dalam dakyah permusuhan dan memercikkan api permusuhan dalam sebuah gerakan Islam. Bacalah hanya untuk mengambil iktibar dari contoh yang telah dan sedang berlaku ini... ]

Status saya yang asal;

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10151983235179876&set=a.10150215629584876.329083.632394875&type=1&permPage=1

Amaran Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Saya nukilkan juga amaran yang pernah disebut oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, YB Ustaz Nasrudin Hassan dalam satu wacana beberapa tahun lepas;

“Fitnah ini kesannya lebih dahsyat dari membunuh dan menimbulkan masalah besar kepada tamadun manusia. Ia mewujudkan persengketaan, pertelagahan, dan sampai ke peringkat boleh membawa kepada pembunuhan. Fitnah merupakan senjata paling tua di muka bumi untuk membinasakan pihak lain”.

Beliau juga menambah;

“Saya mempunyai satu tekad, apabila diberi amanah sebagai Ketua Pemuda PAS, saya ingin memastikan setiap anggota khasnya pemuda mengamalkan dasar dan sistem politik berakhlak, bermaruah, berhemah dan bukannya bertunjangkan fitnah. Kita tidak mahu politik berlandaskan kepada menjatuhkan maruah orang lain, politik keji dan jijik”.

Saya jadikan ruh teguran dan amaran di atas sebagai sandaran dalm tulisan saya ini. Di hujung perkongsian ini, empat (4) harapan atau cadangan saya sasarkan wajib dipegang oleh ahli gerakan Islam, khasnya PAS, terutamanya mereka yang terlibat dalam kepimpinan di mana peringkat sekalipun.

Dan yang lebih penting sekali kepimpinan yang menjadi perwakilan di dalam Muktamar PAS Ke-59 nanti kerana mereka bakal menentukan corak pemimpin dan kepimpinan masa hadapan PAS kelak, antaranya;

Pertama - Hapuskan Indoktrinasi

Jangan sesekali membenarkan apa jua bentuk doktrin asobiyyah, atau, berlakunya proses pengindoktrinasian bersifat permusuhan dan marah dalam berjamaah (‘adawah dan baghdak) oleh sesiapa sekalipun, walaupun mereka itu bergelar agamawan yang kerap bercakap hal-hal berkaitan agama sekalipun. Kepetahan bercakap tidak sepatutnya dijadikan sebagai faktor utama pemilihan seseorang kepimpinan dilakukan.

Kedua - Tabayyun & Betulkan Kesalahan

Namun, jika berlakulah juga perkara sedemikian, tatkala wujudnya fitnah yang membangkitkan sangkaan buruk sesama kepimpinan atau ahli jamaah, maka sama-samalahmenegur tindakan sedemikian. Bahkan mintalah pada pihak yang menyampaikannya untuk lakukan pengesahan (tabayyun) atau bersemukalah dengan pihak yang dilontarkan dzan atau persepsi buruk tersebut. Haramkanlah diri dari terus menyebar atau meredhai apa sahaja persepsi buruk yang didengari atau dibaca tanpa diselidiki kesahihanya itu.

Ketiga - Pendirian yang Benar & Adil

Yang ketiga menyedihkan, disebabkan perkara itu mutakhir ini berleluasa serangannya di dalam PAS, maka saya berharap mana-mana ahli atau kepimpinan yang pernah terpedaya apa jua tuduhan yang disampaikan oleh pihak-pihak terbabit untuk melakukan penilaian semula pendirian yang diambil tersebut. Seterusnya bertindaklah menggunakan akal dan pertimbangan syarak dalam menentukan kepimpinan menggunakan merit dalam perjuangan dan dakwah, dan bukannya membiarkan emosi atau sentiment kepuakan sebagai faktor sesuatu keputusan itu dilakukan.

Dan terakhir sebagai ketegasan saya, berdasarkan contoh serious yang telah banyak kepimpinan dan ahli PAS lalui sendiri, saya berpesan perkara ke-empat ini hendaklah diberikan perhatian serious;

Keempat - Berhati-hati dengan Fitnah Perpecahan & Kebencian

Saya meminta semua ahli PAS, ahli gerakan Islam atau masyarakat awam untuk cukup berhati-hati tatkala mendengar setiap ucapan atau penulisan khasnya dalam isu “fitnah memburukkan kepimpinan PAS” yang disampaikan oleh sesiapa sahaja, termasuklah oleh dua individu berikut; Ustaz Muhammad Atiullah Othman dan Ustaz Zaharuddin Mohamad, terutama dalam serangan serta tohmahan mereka kepada pimpinan PAS yang dipenuhi nada marah dan kebencian. Saya pohon untuk elakkan persepsi buruk yang dilemparkan oleh kedua mereka itu dari dijadikan sebagai rujukan, khasnya menjelang Muktamar PAS pada minggu hadapan.

Itu sekadar objektif awal tulisan ini diokongsikan kelak. Saya akan kemukakan perbahasan dalam ke-empat perkara di atas.

Wallahu’alam.

—————————————————

Ikhwah yang dirahmati;

“Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam” juga aku berlindung dari segala kerja manusia yang berhukum bahkan membangunkan apa jua fitnah atas bumi ini…

1)       Saya bakal kongsikan dua insidens sikap peng“indoktrinasian” melampau, dengan mereka-cipta label dan persepsi buruk sesama muslim atau kepimpinan Islam tanpa mahu berhujjah atau berusaha mencari kebenaran dan pengesahan. Saya hadiri satu forum berkaitan bahaya fahaman asing dalam PAS yang dianjurkan oleh PAS Selayang dan juga sebuah NGO lepasan pelajar UIAM pada minggu sudah.

2)       Saya membuat keputusan untuk berkongsi beberapa perincian dan kesimpulan yang telah dibuat oleh salah seorang ahli panel, Ustaz Atiullah Othman, seorang Pensyarah UPSI dan juga dimaklumkan sebagai AJK unit di dalam Dewan Ulamak PAS Pusat, antaranya beliau mendakwa;

2.1.     Terdapat kepimpinan PAS menyatakan dengan jelas bahawa hudud tidak perlu dilaksanakan di Malaysia kerana PAS sekarang mahukan hanya kemenangan dan menubuhkan negara yang melaksanakan nilai-nilai Islam sahaja.

2.2.     Terdapat juga pimpinan PAS menyatakan bahawa perlaksanaan syariah Islam itu bukan perjuangan PAS lagi, bahkan PAS sudah kendurkan perjuangan tersebut, sedangkan perjuangan hudud itu adalah sama seperti kewajipan solah fardhu yang wajib dilaksanakan dalam apa jua keadaan sekalipun oleh setiap muslim tanpa sesekali boleh dikendurkan.

2.3.     Terdapat di kalangan pimpinan utama PAS yang membawa dan menyebarkan kefahaman liberalism, secularism, dan pluralism dalam beragama ke dalam PAS yang mana kefahaman tersebut semuanya telah difatwakan kufur.

2.4.     Antaranya Dr Dzulkefly Ahmad dan Dr Mujahid Yusuf  sebagai dua orang pimpinan Pusat PAS yang jelas memberikan sokongan terhadap penyebaran elemen kufur tersebut ke dalam perjuangan PAS apabila mereka jelas menunjukkan sokongan terhadap IRF.

2.5.     Mereka juga mempromosikan dan melancarkan buku yang penuh kekufuran oleh Dr Farouk Musa itu, bahkan turut memberikan tulisan sokongan terhadap idea dan elemen kufur yang diperjuangkan oleh IRF.

2.6.     Bahkan Dr Dzul pula dikatakan jelas mempromosikan kefahaman yang terkeluar dari Islam apabila menyokong dan mengketengahkan idea post-Islamism ke dalam PAS yang turut merupakan fahaman secular.

2.7.     Dr Dzul juga dikatakan menyebarkan kefahaman Islamist-democrat ke dalam PAS yang dianggap liberal dan turut juga terkeluar dari Islam.

2.8.     Selain nama Farouk Musa, Mujahid, Dr Dzul dan lain-lain, beliau juga menyatakan di dalam forum itu beberapa individu lain yang mempertahankan idea kufur tersebut termasuk penulis Marwan Bukhari dan beberapa inidvidu lain.

3)       Ketika forum berlangsung, seorang lagi ahli panel iaitu YB Dr Mujahid Yusuf, seorang AJK Kerja PAS Pusat terus menegur tindakan Ustaz Atiullah tersebut termasuklah membetulkan salah faham beliau beberapa definisi definisi tertentu yang dikatakan terkeluar dari Islam itu.

4)       Dr Mujahid turut memberikan amaran bahawa tindakan Atiullah melemparkan fitnah sewenangnya “penyebaran elemen kufur” dalam PAS adalah sangat serious dan kesannya membawa implikasi aqidah. Beliau turut memberikan teguran  terhadap sikap kalangan agamawan atau ustaz tertentu yang bergerak di dalam gerakan Islam atau PAS itu sendiri yang dilihat terlalu suka ber“hukum” dan berlabelan sesama muslim atau kepimpinan jamaah ketika berhadapan dengan isu kepelbagaian pandangan. Ustaz Mujahid menyatakan kekecewannya pada sekumpulan agamawan tersebut yang tidak pula berusaha untuk berjumpa (atau bertabayyun) secara bersemuka ketika berhadapan apa jua perbezaan pendapat tersebut.

5)       Namun jelas dalam ketiga pusingan forum itu Atiullah kelihatan tetap terus mengabaikan segala teguran atau nasihat yang telah diberikan oleh Dr Mujahid tersebut. Kesannya sebahagian yang hadir hanya terdiam atau “speechless”, termasuk saya sendiri yang tidak mengjangkakan segala persepsi dan tuduhan berat sedemikian dilontarkan oleh seorang ustaz muda yang kerap dijadikan sebagai penceramah oleh sebahagian ahli PAS. Bahkan saya tidak berkesempatan untuk bertemu demi bertukar pandangan atau menegur tindakan Atiullah itu kerana beliau terus pulang sebaik selesai berprogram malam tersebut.

6)       Maka saya mengambil keputusan menghubungi Atiullah terus melalui telefon pada keesokan harinya dengan dua tujuan, bertanya dan memberikan sedikit teguran sebagai ahli jamaah, antaranya;

6.1.     Saya menjelaskan rasa sangat terkejut, khuatir dan sedih dengan ucapan beliau yang jelas berbentuk fitnah dan dakwaan serious berkaitan aqidah yang ditujukan pada pimpinan PAS tersebut. Saya lebih kecewa tatkala dimaklumkan oleh beliau bahawa beliau telah kerap kali menyampaikan perkara yang sama di dalam pelbagai program lain kepada ahli-ahli PAS.

6.2.     Saya bertanyakan juga apakah faktor yang menjadikan beliau begitu yakin dan berani melemparkan tuduhan dan fitnah sedemikian, walaupun setelah Dr Mujahid baru sahaja menegur dan membetulkan salah faham Atiullah berkaitan beberapa definisi kalimah yang digunakan. Namun tiada sebarang penarikan atau permohonan maaf oleh Atiullah, bahkan beliau tetap meneruskan tuduhan lagi dalam ucapan berikutnya.

6.3.     Saya mempersoalkan pada Atiullah mengapa beliau langsung tidak pernah melakukan cross-check “tabayyun” atau “tathabbut” dalam setiap sangkaan (dzan) yang beliau lontarkan pada umum tersebut. Saya membacakan beberapa ayat Allah dalam Surah Hujurat yang menyatakan bahawa tindakan pengesahan itu adalah satu yang wajib dalam Islam.

6.4.     Sebelum akhir saya turut mempertikaikan kewajaran tindakan Atiullah bercakap di khalayak umum tersebut, kerana sebagai ahli PAS adalah wajib bagi beliau menggunakan saluran rasmi parti iaitu membuat laporan pada Jawatankuasa Tatatertib PAS tanpa menyebarkan tuduhan berat tersebut kepada kepimpinan PAS di hadapan umum sedemikian.

7)       Maka antara jawapan yang terus diberikan oleh Atiullah adalah;

7.1.     Beliau berhukum bahawa “tidak perlu” untuk beliau melakukan tindakan pengesahan (tabayyun) dalam tuduhan tersebut. Beliau  nyatakan bahawa bukti yang ada sudah mencukupi untuk beliau sebarkan perkara itu untuk pengetahuan ahli. Saya berkeras menolak hujjah Atiullah tersebut dengan bertanyakan beliau sandaran dalil syarak yang mengharuskan tindakan tuduhan tanpa pengesahan sedemikian.

7.2.     Atiullah tidak mahu dan menolak untuk memberikan apa-apa jawapan atas pertanyaan saya tersebut dan mengugut untuk mematikan perbincangan telefon itu jika soalan itu terus diajukan.

7.3.     Atiullah turut menyatakan yang beliau “tidak mempunyai qudrat” untuk beliau bertanya terus sama ada pada Dr Dzul atau Dr Mujahid termasuklah untuk menalefon kerana tidak mempunyai nombor telefon kedua mereka. Beliau turut berpesan untuk saya tidak menyalahkan beliau atas tabayyun yang “tidak mampu” beliau lakukan itu kerana baginya Allah tidak akan sesekali mempersoalkan susuatu yang di luar kemampuan (qudrat) yang beliau ada.

7.4.     Beliau turut menambah adalah tidak sesuai untuk beliau menghubungi terus kedua pimpinan PAS Pusat itu disebabkan beliau hanyalah ahli bawahan PAS yang tidak sama taraf dengan kedua mereka, bahkan mereka juga adalah seorang yang bergelar YB.

7.5.     Atiullah juga menyatakan kekesalan beliau kepada PAS Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang tidak meneruskan janji untuk menemukan beliau dengan Dr Dzul secara bersemuka.

7.6.     Atiullah juga menyatakan bahawa laporan rasmi telah beliau buat kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS, namun yang diserahkan hanyalah tulisan kajian beliau berkaitan ancaman fahaman asing itu pada Islam. Namun Atiullah mengakui beliau hanya menyerahkan tulisan itu kepada Ustaz Harun Din sahaja, bukan kepada mana-mana Ahli Jawatankuasa Tatatertib yang sebenarnya.

7.7.     Sebelum perbincangan dimatikan oleh Atiullah disebabkan marahkan pertanyaan saya, beliau menyatakan berkemungkinan beliau berhajat untuk memanggil kedua mereka Dr Dzul dan Dr Mujahid atas nama Dewan Ulamak demi mendapatkan penjelasan dari tindakan mereka menyebarkan elemen kufur di dalam perjuangan PAS tersebut.

8)       Di akhir perbincanangan saya mengucapkan kepda Atiullah bahawa beliau adalah seorang ahli PAS yang gagal memahami perlembagaan PAS, bahkan juga seorang yang bersikap “bacul” yang hanya berani melemparkan tuduhan yang serious pada kepimpinan PAS, namun langsung tidak berani bersemuka untuk mendapatkan pengesahan.

9)       Maka dengan itu saya meminta pada Atiullah untuk tidak sesekali lagi mengulangi segala bentuk tuduhan yang dilemparkan itu demi memastikan akhlaq beliau sebagai ahli jamaah dan muslim terus dipelihara Allah.

Ikhwah yang dirahmati;

Insiden yang hampir sama.

10)   Seusai perbincangan saya dengan Ustaz Atiullah tersebut, ia kembali mengingatkan saya perbincangan yang hampir serupa tujuannya dengan seorang lagi sahabat baik beliau, iaitu Ustaz Zaharuddin Muhammad tiga minggu lepas.

11)   Zaharuddin yang merupakan salah seorang Ahli Majlis Syura PAS dilantik dari quota Dewan Pemuda PAS banyak menulis dalam nada “menyerang” beberapa AJK Kerja PAS Pusat menggunakan pelbagai gelaran termasuklah yang terkini label “bongkah ais” yang merujuk kepada sekumpulan pimpinan PAS yang didakwa berusaha secara terancang untuk merosakkan PAS dari dalam PAS itu sendiri.

12)   Malah pelbagai “serangan” peribadi dalam bentuk tulisan juga ditujukan terhadap YB Khalid Samad yang juga merupakan AJK Kerja PAS Pusat dan juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berkaitan isu pertindinan calon di DUN Kota Damansara dalam PRU13 baru-baru ini.

13)   Ironinya terdapat pendirian yang hampir sama diungkapkan oleh Zaharuddin iaitu;

13.1. Tiada keperluan untuk beliau bertemu dengan Khalid Samad untuk bertabayyun atau berbincang isu berkaitan Kota Damansara atau lain-lain isu yang beliau bangkitkan kerana beliau sangat yakin dan mempunyai bukti-bukti yang jelas atas semua dakwaan tersebut.

13.2. Zaharuddin juga maklumkan pertemuan yang pernah beliau setujui kepada saya atau kepada mana-mana pihak lain untuk bersemuka dengan Khalid Samad, jika sekalipun mahu diteruskan juga hendaklah dibuat selepas Muktamar PAS Ke-59 kelak, disebabkan beliau sibuk dengan tugasan harian. Bagi Zaharuddin, perjumpaan dengan Khalid Samad itu tidak penting untuk diadakan.

13.3. Beliau juga menyatakan jika sekalipun pertemuan selepas muktakar itu akan diadakan, beliau mensyaratkan untuk dibawa sekali PAS Subang untuk turut mempertahankan hujjah beliau berkaitan Kota Damansara tersebut.

13.4. Namun beliau tetap berpegang bahawa tiada mana-mana pihak yang boleh memaksa beliau bertemu dengan Khalid Samad atau mana-mana pimpinan yang dimahukan kerana penulisan dan perjumpaan itu semua adalah hak peribadi beliau sepenuhnya.

13.5. Saya menyatakan kekesalan yang tinggi terhadap sikap Zaharuddin yang tidak mengotakan janji-janji beliau untuk bersemuka dengan Khalid Samad tersebut sejak Jun 2013 itu, yang akhirnya sengaja mahu ditangguhkan selepas Muktamar PAS kelak.

14)   Jelas dalam kedua insiden di atas, Zaharuddin berkongsi pendirian yang sama seperti Atiullah, iaitu mereka tidak perlu melakukan apa-apa “tabayyun” atau mendapatkan pengesahan dengan bersemuka dengan pihak yang mereka “serang” tersebut. Bagi mereka berdua segala bentuk berita atau persepsi buruk tersebut adalah “halal” untuk dilemparkan pada ahli dan umum kerana meraka telah “mempunyai bukti yang cukup”.

15)   Peliknya, kedua mereka gagal memberikan penjelasan syarak yang mengharuskan hokum pengecualian tabayyun tersebut dari dilakukan.

16)   Saya juga menegaskan tindakan beliau menulis dan menghentam kepimpinan sedemikian adalah sangat salah. Ini kerana beliau sebagai ahli kepada MSU langsung tidak mempunyai apa-apa hak untuk mengkritik mana-mana kepimpinan atau eksekutif parti melainkan jika teguran itu dilakukan atas nama “Masjlis Syura Ulamak” itu sendiri, bukan atas nama “ahli kepada MSU” secara peribadi. Saluran yang ada pada Zaharuddin adalah tetap melalui kaedah laporan kepada Jawatankuasa Tatatertib atau dengan memanggil satu mesyuarat khas MSU itu sendiri untuk menjatuhkan apa-apa hukuman kepada mana-mana ahli parti, bukan secara bersendirian seperti yang Zaharuddin lakukan.

Ikhwah yang dirahmati;

17)   Saya melihat kedua tindakan yang disandarkan oleh kedua individu yang kerap dijadikan rujukan untuk pelbagai pengisian wajib dalaman parti termasuk pemuda dan ulamak adalah satu perlanggaran dan salah guna kuasa yang melampau di dalam parti.

18)   Mereka yang menjadi rujukan ahli-ahli parti sepatutnya faham dan mengamalklan kaedah Islam di dalam penyebaran berita kepada ahli-ahli bawahan, apatah lagi kepada umum, terutama sekali dalam isu aqidah.

19)   Tindakan menyebar persepsi buruk atau berita tanpa pengesahan tersebut amat serious dosanya apabila terbangunnya fitnah dalam jamaah sama ada dalam bentuk “ghibah, buhtan atau ifkun” yang tidak mampu dikawal apabila sebarannya telah berleluasa. Semua tindakan itu termasuk  dalam kategori dosa besar yang tidak melayakkan lagi seseorang itu untuk terus memegang jawatan dalam Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS.

20)   Saya cuba berfikir apakah motif tindakan sedemikian yang hanya mula disuburkan setahun dua ini, atau lebih spesifik beberapa bulan sebelum Muktamar PAS Ke-59 yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Apatah lagi apabila saya menilai kenyataan Zaharuddin yang hanya bersetuju untuk bertemu Khalid Samad selepas muktamar tersebut berlangsung mengundang pelbagai telahan.

21)   Saya nyatakan pada Zaharuddin pada saya beliau sebenarnya berniat jahat untuk cuba menjatuhkan kepimpinan tertentu dalam muktamar kelak dengan sebaran persepsi buruk dilakukan kepada perwakilan untuk tidak memilih beberapa pimpinan yang dianggap “bongkah ais” dengan alasan cuba merosakkan jamaah itu. Kesannya perwakilan pula bakal membuat pelbagai sanghaan sendiri untuk tidak memilih beberapa pemimpin tertentu mengikut kefahaman masiong-masing, termasuklah Khalid Samad itu sendiri.

22)   Saya mengambil kata-kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu baru-baru ini yang menyebut bahawa belum pernah di dalam sejarah kebersamaan beliau di dalam ABIM atau PAS dalam menghadapi kepelbagaian pendapat sehingga membawa kepada wujudnya fitnah memburukkan Pimpinan Tertinggi PAS seperti apa yang sedang dilakukan oleh beberapa pihak PAS pada masa ini.

23)   Menurut beliau kalau selama ini segala macam perbezaan pendapat ditangani di dalam mesyuarat dan keputusan bersama diambil, tatapi fenomena sekarang menunjukkan wujudnya elemen serangan dalaman dan peribadi diamalkan oleh ahli atau pimpinan PAS itu sendiri terhadap pimpinan, termasuk oleh mereka yang terlalu baru bergiat di dalam PAS.

Ikhwah yang dirahmati;

24)   Apa yang lebih menyedihkan saya adalah kebanyakan tindakan tersebut dibuat atas alasan mahu mengembalikan “keaslian perjuangan PAS” (asolah dakwah) yang kononnya dikatakan PAS telah tergelincir dari perjuangan asalnya.

25)   Ianya dilakukan oleh sebahagian pimpinan baru PAS termasuk ustaz-ustaz muda yang baru pulang dari belajar yang menggelarkan diri mereka sebagai “ulamak” terhadap kepimpinan yang telah begitu lama intimak mereka dalam jamaah.

26)   Persamaan yang juga berlaku adalah sebahagian besar mereka dilihat lebih suka memberikan pelbagai gelaran, label dan persepsi buruk itu kepada ahli jamaah tanpa langsung berusaha untuk bersemuka atau bertanya dalam setiap perkara “dzan” yang lontarkan tersebut. Kesannya ia menjadi satu rujukan yang terus dipanjangkan sesama ahli atau pimpinan lain.

27)   Kalau Rasulullah memberi amaran bahawa cukuplah seseorang itu dianggap sebagai “pendusta atau pembohong” (kazzab) hanya dengan penyebaran sesuatu berita tanpa pengesahan” tetapi mereka seolahnya langsung tidak memperdulikan amaran Rasulullah tersebut.

28)   Ditambah pula dengan perantaraan laman sosial yang sedang meletup dalam dua tahun mutakhir ini turut menjadi pemangkin kepada mudahnya segala macam fitnah tersebut berleluasa.

Ikhwah yang dirahmati;

29)   Perkara di atas saya nyatakan adalah “sangat baru” dan berlawanan dengan ruh dakwah berbentuk engagement dan hujjah yang sedang dibawa oleh Kepimpinan PAS Pusat pada masa ini. Kegagalan berhujjah dijadikan sebab untuk sebahagian mereka lari dari bersemuka dan berdepan mencari kebenaran.

30)   Ironinya, tatkala PAS dilihat semakin diterima oleh masyarakat umum atau golongan bukan Islam sejak beberapa tahun kebelangan ini, kesannya tidak dapat dinafikan bahawa tindakan sebahagian mereka itu sebenarnya berlawanan dengan ruh perjuangan yang sedang PAS lalui kini.

31)   Semua tindakan engagement dan berhujjah yang PAS lakukan itu akan sia-sia dan rakyat awam akan menjadi semakin takut pula untuk mendekati PAS. Mereka akan katakan bahawa pimpinan PAS itu bercakap tidak seperti yang dikatakan, bahkan mereka melihat PAS tidak ada bezanya seperti parjuangan parti politik lain.

Ikhwah dirahmati;

32)   Sebagai akhirnya, saya teringat dalam satu wacana di Kelantan baru-baru ini, Dr Maza pernah memberikan analogi ngo ISMA yang terkenal dengan sikap keras dan melampau sejak berada di zaman ‘alami Mesir sebagai contohnya. Menurut Dr Maza tindakan ISMA itu sedang berusaha menarik kerja-kerja dakwah di Malaysia ke belakang menuju zaman 30 tahun yang lampau di mana pelbagai politik pengindoktrinasian, menghukum, permusuhan dan dengki termasuklah sesama gerakan Islam dilakukan demi kepuasan kumpulan atau jamaah tertentu.

33)   Saya kerap nyatakan kepada sahabat-sahabat saya sendiri, kalau kita tidak bersetuju dengan budaya pengindoktrinasian dan pembohongan yang kerap dilakukan oleh ISMA seperti dalam tulisan saya terdahulu, maka tegahlah pula ia dari berlaku atau berkembang sesama ahli dan pimpinan dalaman PAS itu sendiri. Tindakan pembetulan termasuklah laporan tataterttib dan hisbah hendaklah segera dilakukan tatkala menyedari wujudnhya elemen tersebut berlaku dalam PAS.

34)   Saya risau pada perkembangan mutakhir ini terdapat pula individu tertentu dalam PAS sendiri yang seolahnya berkongsi fikrah perjuangan antara mereka dengan ISMA dan dibawakan sikap itu ke dalam PAS. Dan beberapa persamaan di kalangan mereka mungkin kerana sebahagian besar pimpinan yang bersikap keras dan fitnah (tidak semua) tersebut adalah lepasan pengajian dari bumi Mesir itu sendiri. Seolahnya ada sesuatu sebab yang menarik untuk dikaji faktornya.

35)   Persamaan lain juga, kedua kumpulan di atas seolahnya langsung tidak dapat menerima kejayaan PAS dalam GERAK tahun 1998 dengan termetrainya kerjasama PAS dengan beberapa parti dan NGO Islam yang selama ini “bermusuhan” untuk memenangkan perjuangan pembebasan negara dari kezaliman pemerintah. Bagi mereka, kerjasama tersebut menggelincirkan perjuangan asal PAS sejak ditubuhkan. Bahkan lebih teruk ada di kalangan mereka berani berkata “biar PAS kalah” asalkan keaslian perjuangan tidak digadakikan. Hingga ada pimpinan ISMA berkata baru-baru ini “kami akan sokong PAS” jika PAS kembali pada perjuangan asal mereka.

36)   Mereka langsung menolak teori evolusi perjuangan sesebuah organisasi dan gerakan Islam di dunia yang mengambil keputusan berdasarkan perubahan waqie masa (zaman), tempat (zaman), dan ‘uruf itu sendiri. Bahkan politik kebencian dan permusuhan tatkala zaman PAS bersendirian di era 1980an itu cuba dihidupkan semua oleh mereka, walaupun hakikatnya sebahagian besar mereka pada waktu itu belum pun pernah terlibat di dalam dakwah PAS secara langsung!

Ikhwah yang dirahmati;

37)   Sebagai penutupnya, saya ungkapkan maksud kata-kata yang disebut dengan jelas oleh sahabat saya yang juga salah seorang Timbalan Pesuruhajaya PAS Walayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam satu forum di MPAJ Ampang minggu sudah;

“… zaman ahli-ahli PAS di indoktrinasi dan dipaksa menerima bulat-bulat pemahaman tertentu itu sudah lama berakhir. Bahkan ahli menolak politik melabel dan memberi hukuman secara sangkaan (dzan) dari terus berkembang di dalam PAS oleh sesiapa pun yang melakukkannya, termasuklah oleh ustaz-ustaz yang menggelarkan diri sebagai ulamak sekalipun….”

Ikhwah;

38)   Marilah kita ingatkan diri kita semuanya bahawa penglibatan kita di dalam PAS sebagai sebuah gerakan dakwah dan siyasah tidak lain hanyalah sebagai satu alat atau wasilah untuk memudahkan kerja-kerja dakwah kita untuk terus dilaksanakan. Maka menjadi kewajipanlah ke atas kita dan seluruh kepimpinan memahami perbezaan berkaitan alat atau wasilah dakwah dan juga apakah matlmat sebenarnya perjuangan yang hendak dibawa.

39)   Tidak sepatutnya “politiking dalaman” atau politik menjatuhkan dibawa ke dalam jamaah ini, walau PAS menggunakan syura berbentuk demokrasi di dalam pemilihan kepimpinannya. Namun itu bukan alasan untuk nengharuskan politik machiavelli kepartian di luar sana untuk di bawa masuk ke dalam PAS sebagai sebuah harakah dakwah.

40)   Haram dan tegahlah diri dari memiliki apa-apa kepentingan di dalam dakwah ini. Dan galakkanlah diri kita untuk berkata benar dan tidak takut menegur mana-mana kepimpinan atau ahli yang bersikap melampau atau ghuluw asalkan menggunakan kaedah dan etika yang telah diwujudkan di dalam perlembagan jamaah.

41)   Insya Allah jika itu dapat kita laksanakan, kita sebenarnya membantu kapten atau President parti untuk mengemudi bahtera dakwah ini dengan lebih laju dan jauh mengharungi cabaran ombak yang di luar sana.

42)   Dan insya Allah juga kemenangan sebenar yang dijanjikan Allah itu akan lebih mudah dan semakin dekat jalnnya..

43)   Saya akhirnya salah satu amaran Allah dalam Surah Al-Anfal ayat ke-46;

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya Allah sesekali melarang keras kita daripada mewujudkan perpecahan dan permusuhan di dalam sesebuah tanzim atau organisasi, kerana kesannya Allah akan manarik semula apa jua bentuk kemenangan atau bantuan yang diberikan kepada kita atas perpecahan yang disengajakan tersebut.

44)   Maka untuk PAS mara dan terus kekal menuju kemenangan yang lebih besar impaknya untuk Islam, mahu tidak mahu segala bentuk perpecahan atau faktor perpecahan dalaman ini wajiblah didihindari dan berpesan-pesanlah sesama ahli dan kepimpinan jamaah untuk tidak sesekali leka di dalam perjuangan mencapai kebenaran dan keadilan tersebut.

 

Wallahu’alam.

Ahmad Sayuti Bin Bashiron